AirAsia lancar tambang rendah harga tetap ke Sabah, Sarawak

AirAsia konsisten memastikan rakyat Malaysia dapat melakukan perjalanan dengan tambang berpatutan – Gambar Sekadar Hiasan

SEPANG: AirAsia melancarkan tawaran tambang rendah tetap untuk penerbangan lewat malam dari Semenanjung ke Sabah dan Sarawak bermula daripada RM298 sehala sempena perayaan Tahun Baru Cina ini.

Penumpang boleh terbang ke kampung halaman pada musim perayaan ini dari Kuala Lumpur ke Kuching, Sibu, Bintulu, atau Miri, dan Johor Bahru ke Kuching, Sibu atau Miri dengan tambang tetap RM298 sehala.

Bagi perjalanan dari Kuala Lumpur ke Kota Kinabalu, Sandakan atau Tawau, serta Johor Bahru ke Kota Kinabalu pula tambang tetap RM348 sehala bermula dari 5 hingga 15 Februari 2024.

Selain 134 penerbangan tambahan lewat malam pada tambang rendah tetap ke tujuh destinasi popular di Sabah dan Sarawak, AirAsia juga mengendalikan 408 penerbangan mingguan dengan tambang biasa ke Sabah, Sarawak dan Labuan untuk menyokong inisiatif kerajaan pada musim perayaan ini.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, berkata kerajaan berbesar hati untuk menyokong usaha AirAsia yang adalah salah satu syarikat penerbangan tempatan yang terus konsisten menyokong inisiatif kerajaan bagi memastikan rakyat Malaysia dapat melakukan perjalanan dengan tambang berpatutan, terutamanya semasa musim perayaan.

“Inisiatif tambang tetap ini juga sejajar dengan inisiatif-inisiatif kerajaan termasuk program FLYsiswa di mana kerajaan menyediakan subsidi RM300 untuk pembelian tiket penerbangan oleh pelajar universiti awam dan subsidi tambang asas RM599 sehala bagi pembelian tiket penerbangan kelas ekonomi ke Sabah, Sarawak dan Labuan seperti yang diumumkan pada tahun lalu.

“Kerjasama antara kerajaan dan pemain industri yang terlibat adalah penting untuk membangunkan sektor penerbangan yang lebih kukuh dan dinamik seterusnya memberi sumbangan besar kepada kemajuan negara.

“Oleh itu, kami berharap untuk terus bekerjasama dengan pihak industri demi kesejahteraan rakyat Malaysia,” katanya pada majlis pelancaran tambang harga tetap itu di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia Aviation Group, Bo Lingam.

Sementara itu, Bo berkata, sempena sambutan Tahun Baru Cina ini, pihaknya terus komited untuk mengendalikan penerbangan dengan tambang berpatutan demi menyatukan tetamu dengan keluarga mereka.

“Kami berbesar hati untuk melancarkan tambang rendah tetap untuk penerbangan lewat malam antara Semenanjung Malaysia dan Sabah/Sarawak dengan 25,000 jumlah tempat duduk bagi tempoh perayaan akan datang.

“Kami mengucapkan terima kasih kepada kerajaan kerana dengan sokongan mereka kami dapat menawarkan tambang berpatutan untuk semua terutamanya pada musim perayaan ini,” katanya.

Tambang tetap promosi yang dinyatakan adalah untuk perjalanan sehala termasuk cukai lapangan terbang, fi MAVCOM, caj bahan api dan caj-caj lain yang berkenaan.

SUMBER : https://www.bharian.com.my/bisnes/korporat/2024/01/1196382/airasia-lancar-tambang-rendah-harga-tetap-ke-sabah-sarawak

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top
Scroll to Top

As salam, Kami Menyediakan Pakej Kahwin/Katering Lengkap di KL,Selangor, N9 & Melaka. Boleh share detail utk memudahkan urusan 👇