30 Perkara Penting Untuk Bakal Pengantin
Bersiap sedia untuk menjalani hari paling bersejarah dalam hidup kita sememangnya sesuatu yang mendebarkan. Bagi mereka yang tidak pasti bagaimana untuk memulakan persiapan perkahwinan bagi majlis anda, di sini kami ada sediakan senarai checklist persediaan perkahwinan yang sesuai dibuat kira-kira 6 bulan terakhir sebelum tarikh majlis. Anda ingin ketahui lebih lanjut? Teruskan membaca!
Pilih Tarikh dan Tempat Nikah
Antara perkara paling utama untuk dilakukan terlebih dahulu semasa persediaan perkahwinan adalah menentukan tarikh dan tempat nikah. Yelah, tanpa kedua-dua perkara ini, memang tidak akan terjadi langsung majlis perkahwinan anda. Ada yang ingin melangsungkan majlis akad nikah di rumah sendiri dan ada juga di masjid.
Selalunya ramai yang memilih tarikh hujung tahun semasa cuti sekolah. Ada juga yang gemar memilih tarikh semasa cuti umum dan ada juga yang ingin melangsungkan majlis perkahwinan mereka semasa hari lahir mereka. Terpulang, yang penting adalah persetujuan di antara kedua-dua belah pihak.
Tentukan Tarikh dan Lokasi Majlis Perkahwinan Kedua-dua Pihak
Selain daripada tarikh dan lokasi nikah, anda juga perlu menentukan tarikh dan lokasi majlis perkahwinan selewat-lewatnya 6 bulan sebelum majlis. Ini adalah untuk memberikan ruang dan masa kepada pengantin untuk menjalankan persiapan perkahwinan dengan lancar.
Lagi satu, pastikan tarikh tersebut dipersetujui oleh kedua-dua belah pihak pengantin lelaki dan perempuan. Jika anda berdua tinggal di dua negeri yang berbeza, berikan sedikit jarak masa antara kedua-dua majlis. Kalau tidak, anda dan ahli keluarga akan kepenatan kerana terkejar-kejar.
Tetapkan Konsep dan Tema Warna Majlis Perkahwinan
Bagi melancarkan proses penyediaan dewan, pelamin, dulang hantaran dan baju pengantin, pastikan anda berbincang dengan pasangan anda tentang konsep dan tema warna majlis perkahwinan anda.
Antara konsep yang sering menjadi pilihan ramai adalah:
Klasik Melayu
Klasik Cina
Klasik India
Konsep Dalam Taman
Konsep Inggeris
Konsep Santai
Konsep Hipster
Konsep Pantai
Konsep Islamik
Konsep Moden
Bagi tema warna, ia penting untuk dibincang awal kerana bukan sahaja ia menentukan warna hiasan pelamin dan baju pengantin anda, malah warna pakaian ahli keluarga anda (selalunya sedondon) dan juga warna tema dulang hantaran!
Bincangkan Hantaran dan Jumlah Dulang
Antara perkara lain yang perlu dimasukkan ke dalam senarai checklist persediaan perkahwinan anda juga adalah bilangan dulang hantaran dan bajetnya. Kadangkala, pengantin lupa untuk berbincang tentang hal ini. Akibatnya, semua menjadi kelam-kabut dan caca-merba pada saat akhir.
Selalunya pengantin akan berbalas dulang di dalam kombinasi berikut:
Wanita 11 dulang, Lelaki 9 dulang
Wanita 9 dulang, Lelaki 7 dulang
Wanita 7 dulang, Lelaki 5 dulang
Seperti yang anda perasan, jumlah dulang adalah dalam nombor ganjil. Adakah ia wajib? Tidak! Tetapi ia telah pun menjadi adat kita orang Melayu.
Mulakan Urusan dengan Pejabat Agama Islam
Hal berikut ini juga amat penting – memulakan urusan dengan Pejabat Agama Islam dari negeri masing-masing. Jika anda tidak tahu apa yang perlu dilakukan, jangan bimbang. Kami ada senarai checklist kahwin untuk perkara ini.
Ambil borang nikah
Ketahui siapa kadi nikah
Tentukan saksi-saksi nikah
Isi borang dan dapatkan tandatangan pengesahan dari ketua kampung atau orang berkenaan
Ketahui mas kahwin di negeri anda (ini berubah saban tahun dan bergantung kepada negeri masing-masing)
Semak status permohonan nikah
Pastikan Pendaftar Perkahwinan di tempat anda tahu tarikh nikah anda
Sahkan kehadiran tok kadi dan saksi
Tentukan Bajet Perkahwinan
Lagi satu hal persiapan perkahwinan adalah tentang bajet. Pastikan anda tetapkan bajet kewangan mengikut kemampuan pasangan dan keluarga anda. Tidak perlu bergolok-gadai. Biar ringkas tetapi meriah! Saban tahun, kos perkahwinan semakin meningkat naik, jadi jika anda merancang untuk berkahwin, pastikan anda mula menyimpan sedikit-sedikit. Untuk berjimat, tengok tips di bawah:
Antara kos yang perlu anda ambil kira di dalam bajet ini adalah seperti di senarai semak persiapan perkahwinan di bawah (ia anggaran kasar semata-mata):
Kos hantaran (bagi lelaki) – RM10,000 – RM20,000
Kos tempahan dewan – RM 1,000 – RM3,000
Kos katering – RM7,000 – RM25,000
Kos pelamin – RM 1,000 – RM 15,000
Kos mak andam – RM1,000 – RM 3,500
Kos sewa baju pengantin – RM1,000 – RM5,500
Kos kad kahwin – RM100 – RM1,000
Kos dulang hantaran – RM 500 – RM5,000
Kos bilik pengantin – RM100 – RM 500
Kos sewa hotel/homestay untuk tetamu rapat – RM300 – RM1,000
Kos jurugambar – RM1,000 – RM 3,500
Kos upah/baju pengapit dan dulang girls/boys – RM300 – RM500
Kos penanggah katering (jika ada) – RM500 – RM700
Kos berbukan madu (jika mahu) – RM500 – RM1,000
Jalani Pemeriksaan Kesihatan dan Ujian HIV
Pemeriksaan kesihatan dan ujian HIV juga merupakan faktor penting dalam kelancaran persiapan kahwin anda. Dulu, ianya bukan sesuatu yang wajib. Tetapi kini, setiap pasangan yang akan bernikah mesti melepasi saringan ujian HIV ini.
Apa yang anda perlu lakukan adalah pergi ke Klinik Kesihatan berhampiran tempat anda dan beritahu kaunter yang anda ingin melakukan ujian HIV bagi tujuan perkahwinan. Anda akan di minta untuk masuk ke bilik khas (selalunya tidak perlu ambil nombor giliran) dan staf kesihatan bertugas akan mencucuk sedikit jari anda untuk mengambil sampel darah. Selesai! Mudah bukan?
Anda kemudiannya perlu tunggu antara sebulan hingga 3 bulan sebelum perlu pergi semula ke Klinik Kesihatan tersebut bagi mengambil keputusan ujian HIV. Jika segalanya okay, lampirkan kertas tersebut dengan borang nikah anda untuk dihantar ke Pejabat Agama Islam.
Sertai Kursus Kahwin
Jika anda pernah menyertai kursus kahwin ketika belajar, senarai semak persiapan perkahwinan seterusnya ini boleh anda abaikan. Namun, jika anda belum ada sijil kahwin, pastikan anda menyertai mana-mana kursus kahwin di sekitar bandar anda.
Selalunya kursus ini berjalan selama dua hari dan akan membincangkan segala isu penting berkaitan perkahwinan dan tanggungjawab isteri/suami dan hal rumah tangga. Selesai kursus, anda akan terus menerima sijil pada hari terakhir. Buat salinan dan kepilkan bersama borang nikah anda.
Tempah Persalinan Baju Raja Sehari
Cari kedai pengantin pilihan anda dan tempah persalinan baju raja sehari mengikut kesukaan anda dan pasangan. Pastikan baju tersebut kena dengan tema majlis perkahwinan. Jika tidak, anda akan menjadi bahan jenaka para tetamu!
Selalunya, pengantin akan memilih sama ada berbaju tradisional (songket bagi melayu, cheongsam bagi cina dan sari bagi india). Namun, ada juga memilih baju tuksedo dan dress, serta jubah bagi konsep islamik.
Tentukan Khidmat Dandanan dan Solekan
Ini lagi satu perkara penting. Dapatkan khidmat dandanan yang bersesuaian. Pastikan anda membuat temujanji dan melihat sendiri hasil dandanan mak andam tersebut. Jika anda suka, jangan bertangguh lagi, tempah khidmatnya segera.
Pilih Pengapit dan Dulang Girls/Boys
Selalunya, pengantin akan memilih pengapit dan dulang girls/boys dari kalangan rakan rapat masing-masing. Ada juga memilih sepupu sendiri untuk menjadi pengapit atau gadis bunga telur. Terpulang. Tetapi pastikan anda memberitahu mereka terlebih awal dan sediakan segala keperluan mereka untuk majlis itu nanti (baju sedondon, tempat tinggal, makan minum).
Beli Cincin Perkahwinan
Selalunya selepas acara akad nikah, pengantin lelaki akan menyarungkan cincin/gelang ke tangan pengantin perempuan semasa acara batal air sembahyang. Jadi, jangan pula anda terlupa untuk membeli cincin.
Anda boleh pilih sama ada untuk membeli di kedai emas berhampiran rumah anda atau membeli daripada kedai emas popular seperti Poh Kong, Habib Jewels, Tiffany & Co. dan sebagainya.
Tempah Khidmat Jurugambar Profesional
Jangan lupa juga untuk menempah khidmat jurugambar profesional. Mereka selalunya sibuk, jadi untuk elakkan dari kecewa, tempah mereka awal. Jika anda berkira-kira untuk mengambil jurugambar amatur bagi mengurangkan kos, berhati-hati.
Anda mungkin akan kecewa dengan hasil tangkapan gambar mereka yang tidak berpengalaman. Jadi, untuk selamat, pastikan anda membuat survey terlebih dahulu dan pilih mereka yang menawarkan khidmat cemerlang, profesional, dan berpatutan.
Bincang & Buat Senarai Barang Hantaran
Inilah masanya untuk menyelesaikan hal dulang hantaran. Berbincanglah dengan pasangan dan buat senarai lengkap barang yang ingin diletakkan di atas dulang. Sebagai panduan, anda boleh memilih antara barangan berikut:
Set alat kemas
Set barang makeup
Set pakaian/kasut
Set minyak wangi/pencuci muka
Set makanan
Set kain meter/telekung/sejadah
Set sirih junjung
Set barang elektronik
Set replika kunci atau cek wang hantaran
Set emas dinar/emas jongkong
Dapatkan Senarai Tetamu Jemputan
Bagi kedua-dua majlis pengantin lelaki dan perempuan, pastikan anda menyiapkan senarai jemputan tetamu. Jika majlis diadakan di dewan atau di hotel, pastikan anda turut meletakkan nama tetamu pada tempat duduk. Ia akan membantu melancarkan majlis anda nanti.
Tentukan Menu Makan Majlis dan Katering Pilihan
Antara perkara yang diingati oleh tetamu adalah betapa sedapnya makanan pada majlis walimah anda. Jadi, pastikan anda memilih khidmat katering dengan berhati-hati.
Bagi memastikan kualiti hidangan, pastikan anda membuat temujanji dengan pihak katering dan buat sesi merasa makanan. Bawa ahli keluarga untuk dapatkan pandangan mereka.
Tempah Kek Perkahwinan
Jika anda ingin membuat acara memotong kek perkahwinan, sudah tentu anda perlu membuat tempahan kek perkahwinan awal. Pilih rasa kek yang anda gemari dan tentukan corak serta hiasannya.
Sekali lagi, anda turut boleh mencuba rasa kek tersebut sebelum membuat tempahan. Jika anda ingin cara lebih cepat dan murah, beli sahaja kek Secret Recipe. Ia tidaklah bertingkat-tingkat, tetapi rasanya memang puas hati.
Cari Tempat Penginapan Keluarga Bertandang
Hal ini jangan terlepas pandang! Masukkan ia ke dalam senarai checklist perkahwinan anda. Jika keluarga belah lelaki/perempuan yang bertandang itu ramai, sewa sahaja rumah inap atau homestay. Kosnya selalu di antara RM250 hingga RM350 semalam.
Jika majlis anda di hotel, pastikan anda mendapatkan tawaran harga bilik tetamu istimewa daripada pihak hotel.
Tentukan Kereta Pengantin
Tentukan juga kereta pengantin yang akan digunakan semasa majlis anda nanti. Pada masa yang sama, pastikan anda cari pemandu kereta itu nanti. Jika tidak, pengantin itu sendirilah yang terpaksa memandu kereta tersebut.
Tempah Kad Kahwin
Ada banyak cara untuk membuat kad kahwin – sama ada melalui cara DIY atau tempahan. Jika anda ingin menempah, pastikan anda bincangkan design kad tersebut, kos percetakan, dan harga tawaran pakej terbaik.
Kos keseluruhan kad kahwin biasanya bergantung kepada halaman kad, kualiti kertas kad, dan design kad tersebut. Ada banyak penyedia kak kahwin yang anda boleh pilih, antaranya Sunflower Paper Passion & Things, Renown Gift, dan Kad Kahwin Misteri.
Beli Barang Hiasan atau Door Gift
Pastikan anda turut mula membeli barang hiasan atau door gift 6 bulan sebelum majlis perkahwinan anda. Antara yang diperlukan adalah:
Bunga paha
Bunga telur
Beg hadiah
Hiasan gubahan dulang
Set katil dan hiasan bilik pengantin
Barang hiasan untuk meja candy atau photo booth
Tempah DJ/Pengacara Majlis
Jika anda inginkan majlis perkahwinan yang meriah, dapatkan juga khidmat pengacara majlis atau DJ majlis. Ia bergantung kepada bajet anda. Jika banyak bajetnya, bolehlah anda mendapatkan pengacara popular seperti Mahadzir Lokman, Fedtri Yahya, Awal Ashaari atau Ally Iskandar. Jika tidak, memadai sahaja dengan DJ di tempat anda.
Tentukan Kumpulan Marhaban/Kompang/Silat
Bagi mereka yang mempunyai majlis berkonsepkan melayu tradisional, pastikan anda menempah kumpulan marhaban, kompang atau silat. Mereka inilah yang akan memeriahkan lagi majlis anda dengan persembahan hebat mereka.
Aturkan Sesi Penggambaran Untuk Banner Bunting
Untuk memudahkan para tetamu mencari lokasi majlis anda, cetak bunting yang besar dan gantungnya di beberapa lokasi. Aturkan juga sesi penggambaran supaya gambar anda dan pasangan boleh dimasukkan pada bunting. Ini adalah satu persiapan sebelum kahwin yang sering tertinggal daripada kebanyakkan senarai semak persiapan perkahwinan!
Buat Senarai Tugasan Ahli Keluarga
Beberapa minggu sebelum majlis, ini adalah masa untuk melengkapkan persiapan kahwinanda. Buat senarai tugasan bagi setiap ahli keluarga. Antara tugasan yang biasanya diberikan semasa majlis perkahwinan adalah:
Menjaga meja hadiah
Menyambut tetamu
Menangkap gambar
Menjadi pengapit/tukang kipas/tukang payung
Menghidang makanan di meja keluarga pengantin
Memberi goodies/bunga telur
Menjaga barang hantaran
Membantu penanggah
Menguruskan penginapan tetamu terdekat
Mandi Bunga atau Memanjakan Diri di Spa
Untuk persediaan kahwin di saat akhir, manjakan diri anda di spa bagi pengantin perempuan dan juga pengantin lelaki. Buat rawatan muka dan badan bagi memastikan anda tampil berseri-seri semasa hari bahagia anda nanti. Ia juga membantu anda bertenang dan mengurangkan stress atau debaran!
Uruskan Permohonan Cuti dengan Majikan
Antara persediaan sebelum berkahwin adalah: uruskan permohonan cuti dan rehat diri anda dari kesibukan kerja. Pada masa ini, anda patut memberikan tumpuan kepada majlis perkahwinan anda!
Selesaikan Pembayaran Deposit untuk Semua Tempahan
Juga, selesaikan pembayaran deposit untuk semua tempahan yang anda telah buat tempoh hari. Jika anda terlupa untuk melakukan perkara ini, takut-takut mereka tidak muncul pada hari perkahwinan anda nanti!
Rancang Aturcara Majlis dan Sesi Raptai
Lagi satu perkara yang perlu dimasukkan ke dalam senarai checklist perkahwinan anda ialah sesi raptai dan penentuan acara majlis. Jika majlis anda santai, anda mungkin tidak memerlukannya.
Tetapi, jika majlis anda di hotel dan dihadiri oleh para VIP, sesi raptai ini penting bagi melancarkan urusan perjalanan majlis.
Sediakan Pakaian Pengantin dan Pakai Inai
Akhir sekali, pada malam sebelum majlis perkahwinan anda, sediakan diri dan pakaian pengantin anda. Pastikan segalanya bergosok, cincin elok tersedia dan siapkan diri dengan memakai inai. Besok, anda akan melalui hari yang sangat penting. Yang paling utama, jangan lupa untuk menikmati hari tersebut dengan pasangan anda
PERSEDIAAN SEBELUM KAHWIN
Jika anda bakal pengantin yang sedang membaca artikel ini, tentu sekali dada sedang berdegup kencang. Persediaan sebelum kahwin perlu sempurna dan persiapan mesti rapi. Sudah pasti, tiada 100% sempurna, namun setidak-tidaknya kita kena pastikan yang segalanya sudah disudahkan dengan baik.
Apa yang lebih penting, semoga majlis berjalan lancar dah diberkati. Amin..
- PILIH TARIKH
Memilih tarikh ketika musim perayaan akan menyebabkan harga barangan menjadi mahal kerana permintaan yang tinggi. Jadi, para peniaga akan mengambil kesempatan untuk menaikkan harga barang sesuka hati. Nak tak nak kita terpaksa beli tetapi satu langkah pembelian yang tidak bijak. Barangan yang paling ketara sekali mahal jika musim perayaan ialah makanan seperti ayam, daging.
Selain musim perayaan, musim cuti sekolah juga menjadi kegemaran pasangan untuk memilih tarikh perkahwinan. Hal ini untuk memudahkan saudara mara, rakan dan taulan datang ke majlis mereka. Jika semua pasangan beranggapan begini, maka akan ramailah yang kahwin semasa cuti persekolahan.
Kesannya, akan berlaku peningkatan harga terutama dari segi upah mak andam dan sebagainya.
Seperkara lagi, jangan nak tarikh yang fancy-fancy sangat. Tidak perlu ikutkan kehendak sendiri. Lebih baik tanya ibu-bapa, hormati tarikh apa yang mereka mahu.
- HADIRI KURSUS KAHWIN
Kursus kahwin adalah perkara wajib yang perlu dilaksanakan sebelum pasangan akad nikah dan sah menjadi suami isteri. Kursus kahwin penting kerana secara kasar setiap pasangan akan mengetahui dan memahami tanggungjawab isteri kepada suami begitu juga sebaliknya. Untuk membina rumah tangga yang bahagia bukan semudah memakan kacang, bukak dan telah, tetapi perlukan ilmu asas dan pengetahuan yang 80% akan diterina semasa kursus ini.
Bagi pasangan yang akan melangsungkan perkahwinan tetapi mereka belum mengambil kursus itu, mereka perlulah mengambil kursus tersebut seelok-eloknya tiga bulan sebelum berlangsungnya majlis. Jika dia telah mengambil kursus itu 2 atau 3 tahun yang lepas, kalau boleh, anda perbahuruilah semula kursus anda supaya pengetahuan berkaitan perkahwinan akan lebih segar dalam ingatan.
- MENEMPAH DEWAN, HOTEL, CATERING DAN LAIN-LAIN
Majlis yang berseri-seri dengan kehadiran ramai saudara mara dan rakan taulan, beserta makanan yang lazat adalah diidamkan setiap pasangan pengantin ditambah pula dengan keanggunan wajah dan baju pengantin yang cantik dipakai oleh mempelai adalah impian setiap pasangan. Masalah-masalah yanag berkaitan dewan, juru solek, juru gambar, katering yang datang saat-saat terakhir sangat ditakuti oleh pasangan dan juga keluarga mempelai.
Jadi sebelum ini terjadi, setiap pasangan perlu mengambil langkah berjaga-jaga dan persediaan awal. Dewan perkara utama perlu ditempah selepas mendapat tarikh perkahwinan yang muktamad. Pastikan anda menempah dewan enam bulan awal sekiranya majlis itu di sambut di kawasan bandar. Hal ini untuk mengelakkan harga dewan menjadi mahal sekiranya anda membuat tempahan di saat-saat akhir sebelum berlangsungnya majlis perkahwinan. Semasa membuat tempahan, pastikan anda telah mengetahui anggaran jumlah tetamu yang dijemput supaya pihak dewan boleh membuat perkiraan dan semuanya dapat diuruskan dengan lancar.
- TEMPAH JURU NIKAH DAN ANDAMAN
Perkara ini juga tidak kurang pentingnya. Bagaimana hendak nikah jika tiada juru nikah? Bagi yang ada bapa dan boleh menikahkan anak tidak menjadi masalah. Tetapi bagi yang tiada, perlulah mengambil khidmat juru nikah. Juru nikah juga perlu diberitahu awal supaya jadualnya tidak bertindih dengan pasangan yang lain. Begitu juga dengan andaman. Pasangan dinasihatkan supaya memilih dan menempah butik andaman yang mereka minati enam bulan awal.
Pilihan untuk membuat tempahan perlu dikecilkan sedikit supaya anda tidak rambang mata dan tidak tahu untuk membuat keputusan. Tanya kepada keluarga atau kawan-kawan yang pernah menggunakan khidmat andaman yang ingin anda pilih. Jika layanan dan perkhidmatan yang diberikan sangat bagus, anda boleh memilih butik tersebut. Dalam membuat pilihan tema dan warna semasa majlis, anda perlu mementingkan pakej-pakej yang ditawarkan berbanding perkhidmatan secara berasingan.
Hal ini kerana, perkhidmatan secara berasingan dikatakan lebih mahal berbanding pakej yang disediakan. Kenalpasti tema pelamin yang anda inginkan terlebih dahulu. Jika sudah ada yang berkenan, barulah berbincang dengan pereka pelamin. Jangan mengambil masa yang lama untuk memikirkan tema kerana masa akan terbuang begitu sahaja.
- TEMPAH KAD JEMPUTAN KAHWIN
Setelah tarikh dan tempat untuk melangsungkan persandingan telah ditetapkan, langkah seterusnya adalah menempah kad jemputan. Sebelum menempah, pastikan anda telah memilih tempat untuk membuat dan mencetak kad jemputan. Anda perlulah rajin untuk membuat pemilihan melalui internet tentang tema-tema terbaru dan terkini. Pastikan kad kahwin yang akan dibuat nanti tidak terlalu mahal, cukuplah ringkas dan yang penting maklumat di dalamnya boleh dibaca.
Antara isi kandungan kad jemputan yang perlu diletakkan ialah nama pengantin dan keluarga berserta nombor telefon supaya mudah tetamu hubungi. Alamat rumah jika bersanding di rumah, tetapi kalau di dewan atau hotel, perlu memberitahu alamat dan peta. Rekaan peta tempat majlis persandingan juga perlulah jelas dan mudah difahami. Selain itu, selitkan juga waktu jamuan makan dan persandingan. Bagi umat Islam, kad jemputan selalunya ada tertera doa untuk pasangan pengantin. Lagi baik jika anda turut meletaknya. Keberkatan dan doa semua tetamu sangat penting bagi kesejahteraan pengantin.
- JALANI UJIAN HIV
Ujian saringan HIV perlu dilakukan sebelum pasangan mendirikan rumah tangga. Ujian ini penting dibuat untuk mengelakkan berlaku jangkitan kepada pasangan sekiranya terbukti pasangan itu pembawa HIV. Hal ini akan menjadi teruk dan parah lagi, jika anda tidak buat ujian saringan ini, dan pasangan pula pembawa HIV, ditakuti anak yang akan lahir turut mendapat HIV. Sebelum keadaan menjadi parah lebih baik kita cegah dahulu daripada terlambat. Mudah sahaja untuk melakukan ujian ini.
Jadi setiap pasangan perlu ke klinik kerajaan yang berdekatan, tanpa perlu temu janji kerana prosedur saringan ini ambil masa sekejap sahaja. Semasa di klinik, anda akan diberi borang untuk diisi, kemudian jari anda akan dicucuk untuk mendapat sampel darah. Setelah itu keputusan ujian akan diberitahu tanpa tunggu lama. Jadi jika ujian saringan ini membuktikan anda dan pasangan bebas dari jangkitan HIV, anda berdua boleh tersenyum panjang tanda bahagia.
- DOKUMEN DAN BORANG PERKAHWINAN
Bagi setiap pasangan yang akan mendirikan rumah tangga, perkara asas yang perlu dilakukan juga adalah mengisi borang-borang penting dan di hantar di Pejabat Agama sebelum bernikah. Antara borang yang wajib diisi ialah borang permohonan kebenaran perkahwinan bagi perempuan dan lelaki, borang akuan bujang, borang saksi, dan ada lagi beberapa boring lain bergantung kepada status diri pasangan. Maklumat borang boleh rujuk di sini.
Setelah semua borang dan maklumat yang diperlukan siap, dokumen tersebut perlulah dihantar ke bahagian Undang-undang Syariah Jabatan Agama. Semasa di sana nanti pasangan akan melalui sedikit sesi temu bual berkaitan tanggungjawab suami kepada isteri, dan tanggungjawab isteri kepada suami bersama pegawai agama. Cara ini selalu diamalkan di negeri Johor Bahru. Setiap negeri berbeza prosedur yang dikendalikan oleh Jabatan Agama tetapi sama dari segi keperluan yang asas dan wajib.
AKHIR KATA
Dalam melayari alam perkahwinan, setiap pasangan akan melalui pelbagai ujian dalam hidup. Jadi perlu diingatkan, kahwin bukan semudah yang disangka. Jika masih kurang ilmu di dada, perlu dalami lagi dan perlu bersedia fizikal dan mental.
Prosedur perkahwinan juga dikatakan semakin rumit. Hal ini kerana, sudah terlalu banyak kes kahwin lari, kahwin tanpa persetujuan perkahwinan, perkahwinan tidak berasaskan Islam dan banyak lagi. Jadi untuk mengelakkan perkara sebegini terjadi, prosedur yang teliti perlu dilakukan supaya tidak mendapat kesusahan di kemudian hari. Semoga artikel persediaan sebelum kahwin ini dapat memberikan manfaat.
Wallahualam.